Pages

nuffnang

Info: Bintang All Black peluk Islam

Menjadi sensasi dalam liga ragbi remaja, kemudian menyertai skuad bintang All Black, dan pada waktu yang sama menjadi peninju heavyweight yang berbakat. Tidak setakat itu, Sonny Bill Williams juga telah memeluk Islam.



Sekalipun terdapat khabar angin tentang bintang berusia 25 tahun ini memeluk Islam, namun akhbar Herald, Ahad lalu, mendedahkan bahawa beliau telah bersyahadah sejak dua tahun yang lalu.


Sejak itu, beliau menjadi Muslim pertama yang mengenakan jersi All Black, dan meminta makanan halal semasa kempen jelajah Hemisfera Utara tahun lepas. Bulan Ramadan pada tahun ini akan jatuh dalam bulan Ogos – semasa All Black mengambil bahagian dalam pertandingan Tiga Negara. Di sinilah fasa terakhir persediaan pasukan bagi menyiapkan diri bertanding dalam Piala Dunia.


Menurut sahabatnya, Williams sering hadir menunaikan sembahyang Jumaat di sebuah masjid di Christchurch.


Naib presiden Persekutuan Pertubuhan Islam NZ, Javed Khan, berkata bahawa komuniti Muslim memang sedia maklum tentang hal itu.


"Beliau mengamalkan agama dan beliau telah menjadi contoh yang baik untuk remaja. Kami berdoa supaya beliau akan memenangi Piala Dunia untuk kami. Semua orang bercakap tentangnya. Dalam komuniti Islam, setiap kami mengenali setiap seorang yang lain."


Kedua-dua pengurus William, Khoder Nasser dan mentornya yang juga bintang liga dan peninju, Anthony Mundine (gambar mereka bertiga), adalah Muslim, begitu juga dengan adiknya Johnny, yang tinggal dengan beliau di Christchurch.







Kawan William, Tairek Smith berkata yang dia selalu bersembahyang bersama William sejak beliau memeluk Islam Sunni dalam satu majlis di masjid Regent’s Park di barat Sydney pada 2008, iaitu masjid yang juga dihadiri oleh Hazem El Masri (gambar), bekas rakan sepasukannya dalam Kelab Canterbury Bulldogs.


Pengurus All Black, Darren Shand (gambar) berkata kepercayaan agama bintang tersebut mempunyai kesan yang "minima" kepada pasukan.


Katanya: "Beliau telah memberitahu kami tentang keperluan dietnya dan kami memang telah beri kelonggaran. Kami sediakan daging halal dan lain-lain dan beliau tidak memperbesar-besarkan isu itu.


"Kami tidak membawa agama dan benda yang berkaitan dalam sukan ini. Itu adalah kehidupan peribadi mereka dan mereka yang menentukannya."


Bila ditanya jika amalannya itu bercanggah dengan falsafah All Blacks yang menggalakkan pemain-pemain supaya berfikiran bebas dan berdikari, Shand berkata Williams adalah seorang yang jenis “menyerap” informasi.


"Itulah sebabnya beliau berjaya dalam semua sukan yang diceburi. Beliau hanya tandakan semua kotak. Dia ingin menjadi yang terbaik."


Sejak memeluk Islam, Williams berusaha untuk tidak mengulangi insiden-insiden memalukan yang berkaitan dengan alkohol.


Beliau sekarang ini sedang menjalani latihan bersama kelab Crusaders bagi menghadapi kempen Super Rugby dan tidak dapat dihubungi untuk mengulas dengan lebih lanjut.


beritaislamglobal

Lagi al-Quran terkecil ditemui

KOTA BHARU - Seorang pesara dari Jalan Tanah Merah, Pasir Mas dekat sini mendakwa memiliki senaskhah al-Quran yang dipercayai antara al-Quran terkecil di negara ini.

Hanya berukuran 24 milimeter (mm) panjang, 17mm lebar dan 10mm tebal, al-Quran milik Abdullah Hamzah, 57, itu lebih besar sedikit daripada al-Quran terkecil di dunia di China yang berukuran 19.6mm panjang, 13.2 mm lebar dan 6.1mm tebal.

Menurut Abdullah yang menyimpannya sejak 44 tahun lalu, al-Quran tersebut diberikan oleh arwah ayahnya, Allahyarham Hamzah Jaafar yang merupakan seorang Tok Guru Pondok yang mengajar al-Quran di madrasah dan masjid.
Kosmo

10 Panduan Untuk Ketenangan Jiwa

Ketahuilah bahawa, agama kita, ISLAM ada memberikan ubat dan penawar dalam merawat ketenangan. Berikut adalah perkara-perkara atau langkah yang boleh dilakukan untuk mendapat ketenangan jiwa.

1. Membaca dan mendengarkan al-Quran

Suatu ketika seseorang datang kepada Ibnu Mas’ud, salah seorang sahabat utama Rasulullah. Dia mengeluh:

“Wahai Ibnu Mas’ud, nasihatilah aku dan berilah ubat bagi jiwaku yang gelisah ini. Seharian hidupku penuh dengan perasaan tidak tenteram, jiwa gelisah dan fikiranku kusut. Makan tak enak, tidur pun tidak nyenyak.”

Ibnu Mas’ud menjawab: “Kalau penyakit itu yang menimpamu, maka bawalah hatimu mengunjungi tiga tempat.


  • Pertama, tempat orang membaca al-Quran. Engkau baca al-Quran atau engkau dengar baik-baik orang yang membacanya.

  • Kedua, engkau pergi ke majlis pengajian yang mengingatkan hatimu kepada Allah.

  • Ketiga, engkau cari waktu dan tempat yang sunyi. Di sana, engkau bertafakur mengabdikan diri kepada Allah. Nasihat sahabat Nabi itu segera dilaksanakan orang itu.

Apabila sampai di rumah, segera dia berwuduk kemudian diambilnya al-Quran dan dibacanya dengan penuh khusyuk. Selesai membaca, dia mendapati hatinya bertambah tenteram dan jiwanya tenang, fikirannya segar, hidupnya terasa baik kembali.

Padahal, dia baru melaksanakan satu daripada tiga nasihat yang disampaikan sahabat Rasulullah itu.

2. Menyayangi orang miskin

Rasulullah memerintahkan kepada Muslim yang punya kelebihan harta untuk memberikan perhatian kepada orang miskin.

Ternyata, sikap dermawan itu boleh mendatangkan ketenangan jiwa. Mengapa? Dalam sebuah hadis menjelaskan bahawa malaikat selalu mendoakan orang yang dermawan:

“Setiap pagi hari dua malaikat senantiasa mendampingi setiap orang. Salah satunya mengucapkan doa: Ya Allah! Berikanlah balasan kepada orang yang berinfak. Dan malaikat yang kedua pun berdoa: Ya Allah! Berikanlah kepada orang yang kikir itu kebinasaan.”

Daripada hadis berkenaan dapat disimpulkan bahawa orang yang dermawan itu akan memperoleh dua balasan.


  • Pertama, dia mendapat ganjaran atas apa yang diberikannya kepada orang lain.

  • Kedua, mendapatkan limpahan ketenangan jiwa dan belas kasihan daripada Allah.

3. Melihat orang yang di bawah, jangan lihat ke atas

Ketenangan jiwa akan diperoleh jika kita senantiasa bersyukur atas segala pemberian Allah meskipun tampak sedikit.

Rasa syukur itu akan muncul apabila kita senantiasa melihat orang yang keadaannya lebih rendah daripada kita, baik dalam hal kebendaan, kesihatan, rupa, pekerjaan dan pemikiran.

Betapa banyak di dunia ini orang yang kurang beruntung. Rasa syukur itu selain mendatangkan ketenangan jiwa, juga ganjaran daripada Allah.


4. Menjaga silaturahim

Manusia adalah makhluk yang perlu menjalinkan hubungan yang baik dengan manusia lain. Pelbagai keperluan hidup takkan mungkin boleh diraih tanpa adanya bantuan daripada orang lain.

Dalam hadis Rasulullah diperintahkan untuk tetap menjalin silaturahim sekalipun terhadap orang yang melakukan permusuhan kepada kita.

Rasulullah bersabda bahawa silaturahim dapat memanjangkan umur dan mendatangkan rezeki.

Hubungan yang baik di dalam keluarga, mahupun dengan tetangga akan menciptakan ketenangan, kedamaian dan kemesraan. Hubungan yang baik itu juga akan meleraikan sifat dengki, buruk sangka, iri hati, besar diri dan sebagainya.

5. Banyak mengucapkan “La hawla wa la quwwata illa billah“

Sumber ketenangan jiwa yang hakiki bersumber daripada Allah. Oleh itu, hendaklah kita selalu menghadirkan Allah dalam segala keadaan, baik dalam keadaan senang ataupun susah.

Kuatnya hubungan kita dengan Allah akan membuatkan jiwa seseorang itu menjadi kuat, tidak mudah goyah. Apabila kita lalai mengingati Allah, maka ia membuka peluang bagi syaitan mempengaruhi fikiran kita.

6. Mengatakan yang haq (benar) sekalipun pahit

Hidup ini harus dijaga agar senantiasa berada di atas jalan kebenaran. Kebenaran harus diperjuangkan.

Pelanggaran terhadap kebenaran akan mendatangkan kegelisahan. Ketenangan jiwa akan tercapai apabila kita tidak melanggar nilai kebenaran.

Sebaliknya, pelanggaran terhadap kebenaran akan berpengaruh terhadap ketenangan jiwa. Lihat saja orang yang kerap melakukan maksiat dalam hidupnya, mereka akan berasa gelisah walaupun nampak senang dan ceria.

7. Tidak ambil peduli terhadap celaan orang lain asalkan yang kita lakukan benar kerana Allah

Salah satu faktor yang membuat jiwa seseorang tidak tenang adalah kerana selalu mengikuti penilaian orang terhadap dirinya.

Seorang akan memiliki pendirian kuat jika berpegang kepada prinsip yang datang daripada Allah.

8. Tidak meminta kepada orang lain

“Tangan di atas (memberi) lebih mulia dari tangan di bawah” adalah hadis Rasulullah yang merangsang setiap mukmin untuk hidup berdikari.Tidak bergantung dan meminta-minta kepada orang lain kerana orang yang berdikari jiwanya akan kuat dan sikapnya lebih berani dalam menghadapi kehidupan.

Sebaliknya, orang yang selalu meminta-minta menggambarkan jiwa yang lemah.

9. Menjauhi hutang

Dalam sebuah hadis, Rasulullah dengan tegas mengatakan:

“Janganlah engkau jadikan dirimu ketakutan setelah merasai ketenangan!”

Sahabat bertanya: “Bagaimana boleh terjadi seperti itu!”

Sabdanya: “Kerana hutang.”

Begitulah kenyataannya. Orang yang berhutang akan senantiasa dihantui ketakutan kerana dia dikejar-kejar untuk segera membayarnya.

Inilah salah satu faktor yang membuat ramai orang mengalami tekanan jiwa. Rasulullah juga mengatakan: “Hendaklah kamu jauhi hutang kerana hutang itu menjadi beban fikiran di malam hari dan rasa rendah diri di siang hari.”

10. Selalu berfikir positif

Mengapa seseorang mudah berasa tertekan? Salah satu faktornya kerana dia selalu dibayangi fikiran negatif, selalu mencela dan menyesali kekurangan diri.

Padahal, kita diberikan Allah pelbagai kelebihan. Ubahlah fikiran negatif itu menjadi positif. Ubahlah ungkapan keluh kesah yang membuat muka berkerut, badan lemas, ubahlah dengan ungkapan senang.

Bukankah di sebalik kesulitan dan kegagalan itu ada hikmah yang boleh jadi pengajaran?


Tulisan Ustaz Mohd Zawawi Yusoh

Hadis: Kelebihan Menuntut Ilmu


Rasulullah s.a.w bersabda: "Sesungguhnya Malaikat-malaikat sentiasa menurunkan sayapnya (sebagai memuliakan dan menghormati) penuntut ilmu agama, kerana mereka suka dan bersetuju dengan apa yang penuntut itu lakukan." Abu ad-Darda' r.a.

Huraian:

Pengajaran hadith:

i) Penuntut ilmu agama adalah bakal muballigh (penyampai maklumat) Islam, maka merekalah yang akan menyebarkan agama Allah sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah kepada Rasul-Nya.

ii) Menuntut ilmu agama adalah tidak tertentu kepada satu-satu golongan sahaja melainkan ia adalah wajib dituntut oleh setiap orang Islam demi menjamin kehidupan yang sempurna di dunia dan akhirat.

iii) Kita selaku umat Islam dilarang memperlekehkan golongan alim ulama’ dan penuntut ilmu agama ini kerana Rasulullah s.a.w menyatakan bahawa para malaikat sendiri seluruhnya memberikan penghormatan yang tinggi kepada mereka disebabkan kemuliaan ilmu yang dituntut itu.

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Al-Quran Sebagai Pembela Di Hari Akhirat

Abu Umamah r.a berkata : “Rasulullah S.A.W telah menganjurkan supaya kami semua mempelajari Al-Quran, setelah itu Rasulullah S.A.W memberitahu tentang kelebihan Al-Quran. Telah bersabda Rasulullah S.A.W : “ Belajarlah kamu akan Al-Quran, di akhirat nanti dia akan datang kepada ahli-ahlinya, yang mana di kala itu orang sangat memerlukannya.”


Ia akan datang dalam bentuk seindah-indahnya dan ia bertanya, “ Kenalkah kamu kepadaku?” Maka orang yang pernah membaca akan menjawab : “Siapakah kamu?” Maka berkata Al-Quran : “Akulah yang kamu cintai dan kamu sanjung, dan juga telah bangun malam untukku dan kamu juga pernah membacaku di waktu siang hari.” Kemudian berkata orang pernah membaca Al-Quran itu : “ Adakah kamu Al-Quran?” Lalu Al-Quran mengakui orang yang pernah membaca mengadap Allah S.W.T. Lalu orang itu diberi kerajaan di tangan kanan dan kekal di tangan kirinya, kemudian dia meletakkan mahkota di atas kepalanya.


Pada kedua ayah dan ibunya pula, yang diberi perhiasan yang tidak dapat ditukar dengan dunia walau berlipat ganda, sehingga keduanya bertanya : “ Dari manakah kami memperolehi ini semua, pada hal amal kami tidak sampai ini?” Lalu dijawab : Kamu diberi ini semua kerana anak kamu telah mempelajari Al-Quran.”

Oleh yang demikian marilah kita membaca Al Quran untuk kehidupan kita di akhirat kelak kerana disana adalah kehidupan yang kekal abadi. Bacalah sekurang-kurangnya 10 ayat sehari. InsyaAllah kita juga akan di beri kejayaan aleh Allah. Al Quran adalah Mukjizat yang diturunkan oleh Allah.

6 Garis Panduan Untuk Menjadi Muslim Berkarisma


1. Cuci hati selalu.

Elakkan bersangka buruk, memandang rendah atau merasa diri lebih baik, lebih baik, lebih bagus. Cuci hati dengan menghadirkan rasa kehambaan, rajinkan beristighfar meminta ampun atas dosa-dosa Anda sama ada besar atau kecil, syukuri segala apa yang Anda ada hari ini.

2. Pamerkan Kesyukuran sepanjang masa.

Anda perlu upgrade energi Anda. Energi positif membuat Anda sentiasa bersemangat. Karisma serta aura Anda akan terserlah dari sini. Untuk melatih diri Anda menjadi orang bersyukur, tuliskan 100 perkara yang Anda syukuri hari ini. Senarai ini adalah senarai perkara-perkara yang Anda ucapkan terima kasih pada Tuhan kerana memberi Anda ada semua tu. Mulakan dengan diri Anda sendiri. Misalnya, tuliskan rasa bersyukur kerana Anda dapat bersarapan pagi, ucapkan rasa syukur kerana Anda ada kerja Anda untuk And a mencari rezeki, ucapkan perasaan syukur kerana Anda ada kawan-kawan berkualiti. Amalkan tiap hari. Anda akan perasan ramai orang senang bergaul dengan Anda, justeru menjadikan Anda lelaki gentleman di mata mereka.

3. Perkemaskan Pakaian, Sesuaikan Dengan Situasi.

Pakaian melambangkan peribadi Anda. Untuk menjadi lelaki gentleman, pakaian Anda kena sentiasa kemas, bersih serta harum. Bukan nak bergaya, tapi untuk kemas sepanjang masa. Tak semestinya otot lengan kena berketul-ketul untuk jadi lelaki genteleman. Jika Anda, itu satu kelebihan. Sesuaikan pakaian dengan situasi di mana Anda berada. Jadi lelaki Muslim genteleman, tak semestinya kena pakai kopiah sepanjang masa berserta baju ala-ala Raihan sepanjang masa. Pakaian kena disesuaikan dengan keadaan,barulah senang untuk diterima bergaul dengan sesiapa saja.

4. Jaga sembahyang, kawal kata-kata.

Kawal kata-kata Anda. Jangan bercakap perkara Anda tak tahu untuk menampakkan seolah-olah Anda tahu. Jangan biasakan diri mencelah perbualan, kerana Anda dianggap biadap serta tidak bersopan. Jangan cuba untuk menonjol dengan ketawa kuat, bersuara kuat atau bergaya lebih hebat. Jangan. Lelaki genteleman dari pandangan kami adalah lelaki yang menjaga sembahyangnya, mengawal kata-kata di mulut, di hati dan fikiran. Katalah perkataan baik-baik, fikir baik-baik,memuji dengan ikhlas, memberi semangat beserta dorongan dengan ikhlas, bukan sebagai sindiran.

5. Anggap setiap orang ada potensi.

Anggap setiap orang di sekeliling Anda ada potensi untuk berjaya dalam hidupnya, walau dia cuma tukang sapu sekalipun. Pandang setiap orang dengan rasa kagum,kerana setiap orang ada kelebihan masing-masing diciptakan untuknya. Seperti dikatakan sebelum ini, jangan pandang rendah sesiapa dan elak perasan bagus. Amalkan ini selalu, kesannya karisma serta sikap genteleman akan terbina dengan sendirinya.

6. Lakukan sesuatu bukan kerana duit, bukan kerana pangkat,bukan kerana darjat.

Kerjalah bukan untuk cari duit, tapi untuk berbakti. Berniagalah bukan untuk mencari untung, tapi untuk memberi khidmat. Belajarlah, bukan untuk muncul menjadi cemerlang dalam peperiksaan tapi untuk menguasai ilmu sedalam mungkin. Menyanyilah bukan untuk jadi popular, tapi untuk menghiburkan orang. Tolonglah seseorang bukan kerana mahukan sesuatu, tapi untuk meringankan beban.

InsyaAllah mudah-mudahan kita tergolong dalam orang-orang mukmim yang sejati.